Agama

Homoseksual Virus Masa Kini

NORFADZILLA BINTI MOHD SAPARDI

PENGENALAN

Keadaan masyarakat pada masa kini sangat membimbangkan akibat fenomena keruntuhan akhlak dan moral telah meracuni masyarakat seluruh negara. Antara masalah rumit yang sedang menjadi wabak dalam kalangan masyarakat ialah gejala homoseksual. Sememangnya manusia berada pada zaman globalisasi, namun, pemikiran dan perbuatan manusia masih berada pada tahap jahiliah. Hal ini demikian kerana, manusia terpengaruh dengan pemikiran sekular yang mahu memisahkan dunia dan akhirat. Hakikatnya, amalan homoseksual telah wujud pada zaman masyarakat jahiliah lagi. Hal ini tidak boleh disangkal lagi kerana di dalam al-Quran telah diceritakan bagaimana masyarakat jahiliah pada zaman Nabi Luth a.s menerima bala yang diturunkan oleh Allah akibat perbuatan homoseksual.    
    Di Malaysia, gejala homoseksual semakin menjadi-jadi. Atas nama memperjuangkan hak asasi manusia, terdapat golongan yang mahu Malaysia mengiktiraf gejala homoseksual tidak kira lesbian, gay, biseksual dan transeksual atau transgender. Mereka menyalahgunakan konsep hak asasi manusia dan membuta tuli berdasarkan nafsu serakah semata-mata. Contohnya, di Malaysia, terdapat pelancaran program Seksualiti Merdeka yang telah wujud sejak 2008. Program ini sememangnya akan memberi impak yang besar terhadap negara Islam seperti Malaysia. Selain itu, golongan homoseksual turut mempromosikan baju mereka iaitu People Like Us dan salah satu tempat yang menjual pakaian ini ialah Bukit Bintang. Hal sebegini menggambarkan gejala homoseksual menjadi semakin parah. Tiada langsung kesan positif daripada gejala ini. Justeru, penulisan ini akan mengupas tajuk seks sejenis dengan lebih mendalam.

KONSEP-KONSEP YANG BERKAIT RAPAT DAN CIRI-CIRI HOMOSEKSUAL

Homoseksual merupakan perlakuan individu yang tertarik atau cenderung kepada golongan yang sama jenis. Golongan ini mempunyai nafsu syahwat bagi melakukan hubungan seks sesama jenis. Homoseksual dapat dikelaskan kepada empat jenis. Jenis-jenis tersebut ialah gay, lesbian, biseksual dan transeksual.
    Gay ialah lelaki yang mempunyai tarikan seksual terhadap lelaki lain. Mereka melakukan hubungan seks melalui dubur. Gay boleh dikelaskan kepada beberapa kategori. Terdapat lima kategori yang diklasifikasikan sebagai gay. Lima kategori tersebut ialah trade homosexual, closet queen, am bisexuals, gay guys dan situational homosexuals.
Trade homosexual merupakan golongan gay yang telah berkahwin atau telah bercerai. Kebanyakan daripada mereka terdiri dalam kalangan golongan berpendapatan rendah dan terdiri daripada kumpulan bawahan seperti kerani, tukang cuci, pembantu rumah dan sebagainya. Mereka sebenarnya tidak mempunyai rasa cinta dan sayang terhadap pasangan, namun tujuan mereka hanyalah sekadar membuai nafsu semata-mata. Selain itu, mereka gemar bertukar-tukar pasangan.
    Seterusnya, bagi golongan gay yang dikategorikan sebagai closet queen pula, mereka terdiri daripada lelaki yang belum berkahwin serta berpendapatan rendah. Sememangnya, mereka tidak mempunyai latar belakang akademik yang baik, mempunyai masalah pembelajaran formal di sekolah serta cenderung melakukan masalah disiplin. Selain itu, mereka mempunyai tubuh yang sasa dan berwajah tampan. Oleh yang demikian, sukar untuk mengenal pasti sama ada mereka terjebak dengan gay atau sebaliknya.
    Bagi kategori ketiga iaitu am bisexuals pula, mereka terdiri daripada golongan yang berjawatan tinggi serta berpendapatan sederhana ke atas. Golongan ini tidak mempunyai batas mengenai seks kerana mereka inginkan kepuasan dalam melakukan hubungan seks. Mereka juga tidak mengira jantina pasangan asalkan nafsu mereka dapat dipenuhi. Dalam erti kata lain, mereka terdiri daripada jenis biseksual. Manakala bagi kategori keempat iaitu gay guys pula, perwatakan mereka nampak ketara kepada umum sebagai seorang homoseksual. Mereka turut berperwatakan seperti perempuan dari segi percakapan, jelingan dan pakaian. Yang amat menyedihkan ialah golongan ini terdiri daripada pelajar Institut Pengajian Tinggi dan masih bujang.
    Seterusnya, bagi kategori kelima iaitu situational homosexuals pula, mereka mengamalkan homoseksual kerana faktor-faktor tertentu. Antara contoh faktor yang dijadikan sebagai alasan ialah faktor kemiskinan. Mereka ingin mengejar kesenangan tanpa mengira jalan yang halal atau haram. Jalan pintas menjadi pilihan mereka. Selain itu, gejala ini turut berlaku apabila terdapat sekolah berasrama yang terdiri daripada satu gender. Mereka terpengaruh dengan rakan-rakan yang lain. Penghuni di penjara juga turut berisiko terjebak dengan gejala ini kerana keadaan persekitaran di dalam penjara.
    Namun begitu, berdasarkan penerangan yang telah dikemukakan oleh penasihat Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman Malaysia iaitu ustaz Hanafi Bin Abdul Malek menerusi rancangan televisyen Halaqah, gay terbahagi kepada dua iaitu Top dan Bottom. Top ialah lelaki manakala Bottom ialah lelaki yang memainkan peranan sebagai wanita. Top bersifat metro seksual seperti suka memakai pakaian yang ketat untuk menampakkan susuk tubuh, berbadan sasa, suka pergi ke gim tetapi bukan untuk bersukan malahan bertujuan untuk mencuci mata. Apabila mereka menonton pornografi, mereka hanya berminat terhadap lelaki yang menjadi watak di dalam tayangan tersebut. Mereka menyukai lagu pop. Antara lagu pop yang diminati ialah Lady Gaga dan Madonna. Selain itu, mereka suka memakai anting-anting dan beg yang besar untuk menggambarkan bahawa mereka seorang yang hebat. Seterusnya, mereka mempunyai pelbagai koleksi kasut dan seluar dalam. Bangkok menjadi tempat kesukaan mereka. Namun, alasannya tidak diketahui.
    Golongan Bottom pula yang memainkan peranan sebagai wanita namun sebenarnya lelaki selalunya mempunyai ciri-ciri seperti wajah yang licin, alis mata yang lentik, suka memakai gincu yang boleh menjadikan bibir mereka berkilat, sentiasa basah dan nampak seksi. Apabila mereka melihat lelaki yang dikategorikan sebagai tampan, mata mereka akan berubah menjadi sedikit besar. Mereka juga suka bersentuhan seperti mengurut dengan cara yang lembut dan menggoda bagi menimbulkan keghairahan.
    Selain itu, berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh ustaz Hanafi bin Abdul Malek, golongan gay sukakan gula. Mereka suka mengambil kandungan gula yang tinggi contohnya di dalam minuman seperti air gas. Mereka juga suka memakan gula-gula getah dan sesuatu yang berkemam. Hal ini menyebabkan mereka terdorong dengan perasaan ghairah. Mereka juga memakai minyak wangi yang boleh menimbulkan nafsu syahwat.
    Seterusnya, lesbian pula merujuk kepada perempuan yang mempunyai tarikan seksual terhadap perempuan lain atau dikenali juga sebagai perempuan homoseksual. Kebiasaannya, golongan ini sukar dikenali kerana terdapat wanita yang berpakaian seperti perempuan dan terdapat wanita yang berpakaian seperti lelaki namun sukar untuk dipastikan sama ada mereka terlibat dengan gejala lesbian atau sebaliknya. Salah satu cara mereka melakukan hubungan seks ialah dengan menggeselkan kemaluan atau faraj di antara satu sama lain.
    Namun begitu, bagi golongan transeksual atau transgender, mereka mudah dikenal pasti kerana berperasaan dan mempunyai penampilan yang berlainan daripada jantina sebenar mereka. Terdapat juga golongan ini yang membuat pembedahan bagi menukar jantina.  

PANDANGAN DAN PERATURAN MENGENAI HOMOSEKSUAL

Terdapat pelbagai pihak yang menyentuh isu berkenaan homoseksual tidak kira golongan yang beragama Islam mahupun golongan yang mewakili agama lain. Walaupun terdapat ramai individu yang terjebak dengan gejala homoseksual, namun, masih ramai yang tidak menyokong pengiktirafan golongan ini yang ingin memperjuangkan status mereka atas nama hak asasi manusia. Hal ini demikian kerana, negara Malaysia masih berpegang kepada nilai-nilai agama dan nilai-nilai timur.
Berdasarkan kenyataan yang dikemukakan oleh Mufti Pahang, iaitu Datuk Abdul Rahman Osman menerusi akhbar Berita Harian yang disiarkan pada 10 November 2011, segala kegiatan songsang yang bertentangan dengan agama Islam terutama sekali yang membabitkan hubungan songsang atau hubungan sejenis dalam kalangan orang Islam boleh membawa kepada murtad. Hal ini demikian kerana, gejala seks songsang memang menyalahi hukum Islam di samping membawa kepupusan manusia sejagat.
    Menerusi artikel yang ditulis di dalam akbar Utusan, yang bertarikh 18 Januari 2012 dan ditulis oleh saudara Mohd Khuzairi Ismail, umat Islam dianggap melakukan jenayah akidah dan terkeluar daripada agama Islam jika menolak hukum agama berkenaan larangan hubungan songsang dan menyokong golongan ini seperti yang sedang diperjuangkan oleh golongan Lesbian, Gay, Biseksual, Transgender (LBGT).
Hal ini turut disokong oleh Penasihat Majlis Agama Negeri Johor iaitu Dato’ Nooh Gadut. Jika dilakukan dengan akal yang waras, maka ia telah dianggap sebagai merendahkan dan mempermainkan hukum Allah S.W.T. Golongan yang menyetujui gejala ini hendaklah melakukan taubat nasuha serta mengucap dua kalimah syahadah. Mereka yang turut bekerjasama, bersubahat dan bersetuju dengan LGBT diklasifikasikan sebagai pelaku jenayah akidah. Allah telah berfirman di dalam surah Hud ayat 113 yang bermaksud, “Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang berlaku zalim, maka (kalau kamu berlaku demikian), api neraka akan membakar kamu, sedang kamu tidak ada sebarang penolong pun yang lain dari Allah. Kemudian (dengan sebab kecenderungan kamu itu) kamu tidak akan mendapat pertolongan.”
Selain itu, berdasarkan penulisan Presiden Persatuan Peguam Syarie Malaysia iaitu Mohamad Isa Abd Ralip dalam artikel bertajuk “Kebebasan hak asasi manusia tidak boleh jadi alasan”, yang telah disiarkan pada 17 Ogos 2011 dalam akhbar Berita Harian, menunjukkan bahawa amalan hubungan songsang jelas bertentangan dengan norma kehidupan dan sudut pandangan agama tidak kira agama Islam mahupun agama lain.
Ekoran berita mengenai paderi Kristian iaitu Pastor Ou Yang Weng Feng yang ingin berkahwin dengan “kekasihnya” iaitu seorang lelaki berketurunan Afrika Amerika, hasrat paderi itu telah dikecam oleh pihak tertentu. Antara pihak yang mengecam hasrat paderi itu ialah jurucakap Persatuan Buddha Wakaf Bharu. Beliau menyatakan bahawa, perkahwinan homoseksual bukan amalan hidup masyarakat negara ini dan terpesong sama sekali daripada ajaran agama. Selain itu, P. Subramaniam yang merupakan presiden agama Hindu turut mengecam hal ini. Berdasarkan kenyataan yang dikemukakan beliau, jelas menunjukkan bahawa, homoseksual diharamkan dalam agama Hindu yang disifatkan sebagai melanggar ajaran agama.
Hakikatnya, bukan sahaja agama Islam, Buddha dan Hindu sahaja yang mengecam perbuatan homoseksual, malah di dalam agama Kristian, perlakuan homoseksual tidak dibenarkan sama sekali. Di dalam kitab Bible, terdapat kenyataan yang menyatakan bahawa pelaku homoseksual harus dihukum mati. Di dalam kitab Imamat (Leviticus) 20:13 ada menyebut mengenai seorang laki-laki yang bersetubuh dengan perempuan, maka kedua-duanya telah melakukan sesuatu yang keji. Mereka pasti akan dihukum mati dan darah mereka tertimpa kepada mereka sendiri.
Sekiranya perkahwinan sejenis dibiarkan berlarutan, maka kesan yang buruk pada masa akan datang akan terjadi. Golongan homoseksual tidak boleh menjadikan konsep hak asasi manusia sebagai kebebasan dan keterbukaan yang melampau. Perkahwinan merupakan satu ikatan yang suci. Dengan adanya perkahwinan yang suci, diharapkan agar perkahwinan mampu memberi faedah atau kemaslahatan kepada manusia sejagat di samping mewujudkan generasi yang sihat dan bersih dari pelbagai aspek tidak kira lahiriah mahupun batiniah. Gejala ini merupakan fahaman liberal dan plural yang meracuni pemikiran masyarakat di negara ini. Bahkan, Majlis Fatwa Kebangsaan telah menegaskan bahawa liberalisme dan pluralisme tidak boleh diguna pakai di negara Malaysia. Tambahan pula, Malaysia merupakan negara Islam.
Selain itu, berdasarkan akhbar Utusan yang disiarkan pada 18 Januari 2012 yang bertajuk “Umat Islam Sokong LGBT Murtad”, gejala hubungan sejenis turut membuang hukum perkahwinan dalam Islam mengenai rukun nikah yang mewajibkan pasangan perlulah terdiri daripada lelaki dan perempuan. Selain itu, mereka yang menolak hukum dan ketetapan Allah S.W.T serta Rasulullah s.a.w., maka golongan itu turut menolak al-Quran dan sunah di samping tergolong dalam golongan yang berada dalam kesesatan yang nyata. Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Muafakat Sejahtera Masyarakat Malaysia (Muafakat) turut menegaskan bahawa, undang-undang mengenai homoseksual tidak boleh disangkal lagi kerana tiada satu agama pun yang menerima amalan ini.  
Menurut syarak, homoseksual diklasifikasikan sebagai perbuatan zina. Bagi pasangan yang telah berkahwin, namun terlibat dengan homoseksual, hukumannya ialah direjam sampai mati. Manakala, bagi golongan yang belum berkahwin, hukumannya ialah sebat sebanyak seratus kali serta dibuang negeri selama setahun. Selain itu, pelaku liwat hendaklah dihukum bunuh berdasarkan pendapat asy-Syafie dan riwayat oleh penulis sunan iaitu daripada Ibnu Abbas, Nabi Muhammad s.a.w. bersabda yang bermaksud “Sesiapa yang kamu temui mengamalkan amalan kaum Lut, hendaklah kamu bunuh pelaku dan si pelaku.”
Kisah mengenai kejahilan kaum Lut telah diceritakan di dalam al-Quran seperti di dalam surah Al-A’raaf, ayat 80 hingga 81 yang bermaksud, “Dan nabi Lut ketika ia berkata kepada kaumnya: “Patut kah kamu melakukan perbuatan keji, yang tidak pernah dilakukan oleh seorang pun di dunia ini? Sesungguhnya kamu mendatangi lelaki untuk memuaskan nafsu mu bukan kepada wanita bahkan kamu ini adalah kaum yang melampaui batas.”
Menerusi ayat ini, jelaslah menunjukkan bahawa, homoseksual merupakan perbuatan yang keji dan sememangnya dipandang hina. Kisah masyarakat terdahulu yang telah ditimpa bala akibat perbuatan keji ini telah diceritakan di dalam al-Quran seperti di dalam surah Al-Hijr, ayat 72 hingga 74 yang bermaksud, “Demi umur mu, sesungguhnya, mereka membuta tuli dalam kemabukan maksiat mereka. Akhirnya, mereka pun dibinasakan oleh letusan suara yang menggempakan bumi, ketika matahari terbit. Maka, Kami jadikan negeri kaum Lut tunggang terbalik, dan Kami hujani atasnya dari tanah yang dibakar.”
Sesungguhnya, Allah amat murka kepada golongan yang melampaui batas. Sekiranya Allah murka, Allah akan menurunkan bala kepada golongan yang ingkar. Selain itu, berdasarkan beberapa pendapat mazhab, pelaku liwat hendaklah dibakar dan pendapat ini berpandukan riwayat al-Baihaqi, sahabat Rasulullah s.a.w. Di Malaysia, terdapat beberapa peruntukan atau undang-undang bagi kesalahan persetubuhan di luar tabii. Antara contoh peraturan yang ada ialah seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan (Akta 574). Berdasarkan peruntukan ini pelaku persetubuhan di luar tabii boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.
Pandangan homoseksual bukan sahaja bagi golongan gay, malah terdapat juga, pandangan ulama, hadis dan riwayat yang menggambarkan perlakuan lesbian. Hubungan songsang yang dilakukan oleh lesbian turut diklasifikasikan sebagai perbuatan zina. Di dalam kitab Al Mughni (10/162) yang ditulis oleh Ibnu Qadamah, beliau menyatakan bahawa, “Jika telah bergesek dua wanita maka keduanya melakukan zina terlaknat. Pandangan ini berdasarkan hadis Nabi Muhammad s.a.w. yang bermaksud, “Apabila wanita mendatangi (menyetubuhi) seorang wanita maka keduanya berzina.” Hal ini turut disokong oleh Al-Imam Al-Alusi di dalam Ruhul Ma’ani, jilid kelapan, halaman 172 hingga 173 yang bermaksud, “Sihaq (lesbi) masuk dalam kategori liwat yang juga terjadi pada kaum Luth iaitu seorang wanita menyetubuhi wanita.”
Selain itu, pengharaman mengenai homoseksual turut terdapat dalam surah Al-Mu’minun, ayat 5 hingga 6 dan sebuah hadis Rasulullah s.a.w. yang bermaksud , “Seorang lelaki janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang lelaki di dalam sehelai kain dan seorang perempuan janganlah melepaskan nafsunya kepada seorang perempuan dalam sehelai kain,” (Nail al-Autar, 6:16). Justeru, jelaslah di sini bahawa perbuatan liwat dan musahaqah sama sekali diharamkan. Sesungguhnya, Allah telah mencipta sesuatu itu berpasang-pasangan. Justeru, manusia harus mengikut ketetapan-Nya kerana kita ialah hamba-Nya. Dunia ini hanya pinjaman dan pentas lakonan untuk kita bagi mendapatkan kebahagian hakiki di akhirat kelak.

PERANAN PELBAGAI PIHAK DALAM MENYELESAIKAN MASALAH HOMOSEKSUAL

Tingkah laku devian seperti gejala homoseksual jelas menimbulkan masalah yang besar kepada individu, keluarga, masyarakat, agama, bangsa dan negara. Tiada gunanya sekiranya kita sebagai masyarakat hanya ingin membicarakan masalah ini bertubi-tubi tanpa memikirkan cara yang relevan bagi membantu golongan homoseksual kembali ke pangkal jalan. Sebagai anggota masyarakat yang hidup dalam satu komuniti dan satu rumpun, kita seharusnya menyedari peranan masing-masing dalam membanteras isu ini sekali gus berusaha bermati-matian agar negara bersih daripada masalah ini.
Amalkan berpegang kepada pepatah “akibat nila setitik, rosak susu sebelanga”. Kita perlu menyedari bahawa sekiranya terdapat seorang mahupun segelintir yang terjebak dengan homoseksual, kita juga turut memikul tanggungjawab bagi membantu mereka meskipun kita tidak melibatkan diri dengan gejala ini. Sudah menjadi tugas manusia yang telah Allah S.W.T tetapkan sebagai khalifah. Justeru, pihak-pihak yang perlu memainkan peranan penting ialah individu dan institusi sosial.   
Peranan individu
Individu yang dimaksudkan ialah golongan yang terlibat dengan gejala lesbian, gay, biseksual dan transgender. Sesungguhnya, nasib kita hanya boleh diubah sekiranya kita sendiri berusaha di samping bantuan Maha Pencipta. Punca sebenar masalah homoseksual ialah berpunca daripada diri sendiri yang tidak mahu mengawal nafsu. Golongan ini bertindak membuta tuli dengan menjadikan nafsu serakah berada pada tangga yang teratas dengan bersandarkan konsep hak asasi manusia secara melampaui batas. Nafsu bukanlah untuk dihapuskan, namun sebenarnya nafsu mestilah dikawal agar manusia tidak terjerumus ke jurang yang dalam dan curam.
    Individu ini harus berusaha menyedarkan diri dan meninggalkan amalan keji ini. Golongan ini hendaklah mengawal nafsu supaya hanya akal yang menguasai diri. Antara tindakan yang boleh diambil ialah menanamkan perasaan benci terhadap perbuatan homoseksual. Cuba berfikir sejauh mungkin bahawa penglibatan diri di dalam homoseksual hanya mendatangkan bencana dan kecelakaan. Tidak kira apa jua agama, namun harus kita sedari bahawa telah ditegaskan tiada satu agama pun yang menerima amalan ini melainkan golongan yang berfahaman sekular yang berniat memisahkan manusia dengan agama. Golongan ini juga seharusnya memikirkan masa depan sendiri dan generasi kelak.
    Selain itu, individu ini hendaklah menjauhkan diri daripada rakan-rakan yang masih terjebak dengan gejala ini. Imam Syafie pernah menyatakan bahawa salah satu cara untuk menjadi baik ialah dengan memilih kawan yang baik. Manusia memang tidak boleh lari daripada berkawan kerana di dalam al-Quran juga Allah menyuruh manusia berkenal-kenalan antara satu sama lain. Namun, sebagai manusia yang dikurniakan akal fikiran, kita hendaklah bijak memilih rakan. Secara psikologinya, manusia memang mudah terpengaruh dengan rakan masing-masing. Justeru, pilihlah rakan yang sentiasa mengajak kita melakukan kebaikan serta sentiasa mengingatkan kita dengan akhirat. Jika tersilap memilih kawan, mungkin kita akan tercampak di dalam lurah yang dalam. Justeru, individu perlu mendekatkan diri dengan Maha Pencipta. Jika kita berasa dekat dengan pencipta, kita juga akan sentiasa berwaspada dalam setiap tindakan kerana berasa sentiasa diperhatikan oleh-Nya.
    Selain itu, menerusi rancangan Halaqah yang bertajuk songsang, ustaz Hanafi Bin Abd Malek turut mencadangkan agar individu yang ingin berubah melakukan penghijrahan. Kemungkinan tempat yang kita duduki sekarang terlalu ramai orang yang mengenali kita sebagai homoseksual dan terdapat rakan lama yang masih terlibat dengan gejala ini. Pengaruh mereka seperti sindiran atau godaan, kemungkinan akan menjatuhkan motivasi kepada individu yang ingin berubah. Justeru, penghijrahan tempat juga boleh membantu di samping penghijrahan dari segi pemantapan akidah.
    Seterusnya, ustaz Hanafi turut mencadangkan agar individu tersebut berpuasa sekiranya beragama Islam. Hal ini demikian kerana, dengan berpuasa, hidayah Allah mudah menghampiri hamba-Nya. Berpuasa memang mempunyai banyak hikmahnya. Setiap peraturan Allah memang mempunyai faedah dam hikmah yang besar. Disebabkan itu juga, manusia diwajibkan berpuasa pada bulan Ramadan seperti dalam firman Allah melalui surah-surah di dalam al-Quran. Misalnya, terdapat dalil berkenaan puasa di dalam surah Al-Baqarah. Dengan berpuasa, individu akan belajar mengawal nafsu.
    Selain itu, individu yang ingin berhijrah daripada gejala homoseksual boleh mendapatkan khidmat nasihat dan bimbingan daripada pihak-pihak tertentu yang sedia menghulurkan bantuan. Bimbingan yang diberi dapat membantu individu lebih kuat menghadapi cabaran mendatang untuk menjadi insan istiqamah atau tetap pendirian dalam memperjuangkan kebenaran. Misalnya, pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman (SIDIM) sentiasa bersedia membantu golongan yang ingin pulang ke pangkal jalan. Namun, apa yang penting, individu tersebut yang perlu mengorak langkah dengan hati yang terbuka untuk menghubungi pihak JAKIM atau SIDIM. Justeru, segala usaha daripada pihak lain tidak akan berhasil sekiranya tiada kesedaran dalam diri individu yang bergelar homoseksual kerana hanya mereka yang mengenali diri mereka sendiri.
Peranan institusi sosial
Institusi sosial merupakan struktur yang tertubuh bagi memenuhi keperluan manusia. Institusi sosial sebenarnya terdiri daripada semua pihak dan komuniti yang berada di sekeliling kita. Peranan yang dimainkan oleh mereka turut memainkan peranan penting dalam menyelesaikan masalah homoseksual yang semakin meruncing di negara ini. Seperti yang telah dijelaskan, masyarakat perlu bersama-sama bekerjasama membantu dan membanteras golongan homoseksual demi kepentingan agama, bangsa dan negara. Masyarakat seharusnya berpegang kepada pepatah “sepakat membawa berkat”. Allah S.W.T telah menciptakan manusia hidup secara bermasyarakat yang seharusnya bersatu padu.
    Antara institusi yang memainkan peranan penting dalam membantu dan membanteras gejala homoseksual ialah keluarga. Keluarga merupakan pemberi didikan pertama sebelum individu melangkah ke alam pendidikan secara formal. Golongan yang paling utama sebagai pendidik ialah ibu bapa. Berdasarkan penerangan ustaz Hanafi Bin Abd Malek menerusi rancangan Halaqah, ibu bapa hendaklah mengamalkan “Tujuh P”. “Tujuh P” tersebut ialah perhatian, puji dan peluk, pendidikan, pukul, pujuk, penghargaan dan periksa. Amalan ini wajar dilakukan oleh ibu bapa dalam mendidik anak-anak. Namun, ibu bapa hendaklah mempraktikkan tujuh amalan ini daripada peringkat awal lagi.
    Seharusnya, sebagai ibu bapa yang baik, mereka seharusnya peka terhadap anak-anak. Semasa anak masih kecil, ibu bapa perlu memperhatikan perwatakan dan tingkah laku anak-anak. Sekiranya ibu bapa tidak memberi perhatian dari awal lagi, maka usaha membendung anak-anak terjebak daripada perbuatan keji ini sukar dibendung. Bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Sekiranya ibu bapa terlihat anak-anak yang berkelakuan menentang arus daripada gender sebenar seperti anak lelaki bersifat seperti perempuan, maka ibu bapa hendaklah mengambil tindakan drastik seperti menjadikan anak lelaki tersebut lebih lasak dengan mengajarnya melakukan kerja-kerja seorang lelaki. Justeru, ibu bapa harus sentiasa memperhatikan anak-anak.
    Selain itu, ibu bapa seharusnya memberi pujian dan pelukan agar anak-anak berasa lebih dihargai. Secara fitrah dan psikologi, manusia memerlukan penghargaan. Apabila seorang ibu atau ayah memeluk anaknya, maka akan terjalin kasih sayang yang kuat antara mereka. Anak-anak akan berasa sentiasa selamat dan dihargai. Setiap perlakuan yang baik, seeloknya disertai penghargaan. Ibu bapa hendaklah memuji dan membelai anak-anak sebelum anak-anak dibelai oleh golongan homoseksual dan akhirnya terjebak.
Seterusnya, ibu bapa perlu memberi pendidikan yang cukup kepada anak-anak. Pendidikan bukan sahaja berkenaan akademik, namun pendidikan yang paling penting ialah agama dan akhlak. Namun, pada masa kini, perkara yang menyedihkan ialah ibu bapa terlalu memberi penekanan kepada anak-anak agar berjaya dalam bidang akademik tanpa menghiraukan pendidikan agama dan akhlak. Setelah anak berjaya di dalam bidang akademik, mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi di luar negara. Apabila mereka ke sana, tanpa mempunyai pegangan agama yang mantap, maka mereka akan mudah terpengaruh dengan budaya barat yang mengamalkan hubungan dan perkahwinan songsang.
Realitinya, menurut kajian yang telah dilakukan oleh ustaz Hanafi Bin Abd Malek, golongan yang ramai terjebak dengan homoseksual ialah golongan berpendidikan tinggi seperti doktor, jurutera dan sebagainya. Malahan, golongan berpendidikan tinggi seperti mereka sukar untuk dipulihkan berbanding golongan bawahan ekoran pengaruh sekular yang tinggi semasa melanjutkan pelajaran ke luar negara. Namun, apa yang menyedihkan terdapat juga ibu bapa yang tidak berperikemanusiaan seperti sanggup meliwat anak sendiri. Kes ini pernah terjadi kepada seorang remaja yang bernama Zack (bukan nama sebenar). Zack pernah diliwat oleh bapanya dan sering melihat bapanya membawa rakan lelaki ke rumah lalu melakukan perbuatan terkutuk ini. Akhirnya, Zack memilih jalan hidup yang songsang. Begitulah pentingnya didikan agama dam akhlak. Namun, ibu bapa seharusnya terlebih dahulu menjadi model yang baik kepada anak-anak.
    Berdasarkan agama Islam, ibu bapa berhak memukul anak-anak sekiranya melanggar perintah Tuhan dengan mengikut ketetapan yang telah digariskan oleh syarak. Namun, sekiranya anak meningkat dewasa, anak-anak tidak suka dirotan dan dilayan seperti kanak-kanak. Justeru, ibu bapa hendaklah sentiasa memujuk anak-anak dengan memberi nasihat dan motivasi. Ingatkan kepada anak-anak bahawa mereka mampu berubah dan ingatkan juga anak-anak mengenai masa depan mereka seperti mengingatkan kepada mereka sekiranya mereka terus terlibat dengan amalan songsang, maka masa depan mereka menjadi gelap di samping membawa kepada kepupusan manusia sejagat. Justeru, ibu bapa boleh bertindak memukul dengan sewajarnya serta memujuk agar anak-anak bermotivasi untuk berubah.
    Penghargaan kepada anak-anak perlu diamalkan oleh ibu bapa. Tanpa penghargaan daripada ibu bapa, anak-anak akan merasakan bahawa ucapan kasih sayang hanyalah dusta semata-mata. Ibu bapa seharusnya tidak perlu mengkritik anak-anak sekiranya anak-anak masih belum dapat melakukan apa yang sebenarnya diingini oleh ibu bapa tetapi ibu bapa seharusnya mengujarkan kata-kata semangat sebagai motivasi kepada anak-anak. Yang terakhir ialah ibu bapa haruslah melakukan pemeriksaan. Ibu bapa harus memeriksa pakaian, kawan, laman-laman sembang di internet, buku sekolah, beg sekolah dan almari anak-anak agar pencegahan awal dapat dilakukan sekiranya terdapat tanda-tanda bahawa anak-anak terlibat dengan hubungan songsang. Sesungguhnya, mencegah lebih baik daripada merawat.
    Selain itu, selain daripada ibu bapa, institusi sosial yang lain hendaklah bersama-sama membanteras gejala homoseksual. Contohnya, masyarakat luar selain daripada keluarga seperti institusi pendidikan, agama, kerajaan, badan bukan kerajaan, politik, perundangan dan sebagainya. Selain memperoleh pendidikan di rumah dan persekitaran secara tidak formal, institusi pendidikan turut menyempurnakan tugas membina modal insan yang berkualiti bagi menyumbang ke arah pembangunan individu, agama, masyarakat, negara dan peringkat antarabangsa. Namun, selain pendidikan akademik, pendidikan kerohanian perlu diberi keutamaan. Justeru, tenaga pengajar yang mampu menerapkan pendidikan batiniah amatlah diperlukan.
    Selain itu, media massa juga boleh dikelaskan sebagai institusi pendidikan. Media massa tidak seharusnya memikirkan keuntungan semata-mata, sebaliknya membantu negara dalam membanteras gejala homoseksual seperti melaporkan kawasan-kawasan yang menjadi penempatan golongan ini serta menghebahkan kepada umum mengenai kesan negatif gejala homoseksual terhadap si pelaku dan masyarakat sekeliling. Institusi kesihatan juga boleh dikategorikan sebagai institusi pendidikan. Justeru, institusi kesihatan boleh bekerjasama dengan media massa untuk membuat pendedahan mengenai kesan buruk dari segi kesihatan akibat amalan keji ini.
    Institusi agama pula perlu bergiat lebih aktif dalam membanteras gejala homoseksual. Contohnya, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Persatuan Kebajikan Sahabat Insan dan Iman (SIDIM) bekerjasama membantu golongan yang terlibat dengan masalah sosial dari segi bimbingan kaunseling, psikologi, latihan dan kursus yang bersesuaian. Selain itu, institusi agama tidak kira pada peringkat persekutuan mahupun negeri hendaklah bekerjasama bersama-sama membuat serbuan dengan lebih aktif terhadap golongan homoseksual. Program-program keagamaan hendaklah diperbanyakkan dengan melibatkan bantuan daripada semua institusi sosial yang lain tidak kira keluarga, pendidikan, politik, kerajaan, bukan kerajaan serta perundangan. Bagi ahli politik pula, mereka tidak seharusnya bersikap pentingkan diri sendiri bagi meraih undi apabila turut bersubahat menjayakan atau mengiktiraf amalan homoseksual. Sebagai wakil rakyat, mereka seharusnya menjalankan amanah yang diberi atas nama kesucian agama.
Selain itu, di Malaysia, turut terdapat peruntukan perundangan yang akan mengambil tindakan terhadap golongan yang terlibat dengan aktiviti homoseksual. Walaupun negara Islam seperti Malaysia belum mengamalkan hukuman hudud terhadap kesalahan jenayah akidah seperti homoseksual, namun masih terdapat undang-undang yang digunakan sebagai usaha membanteras amalan homoseksual. Antara contoh peraturan yang ada ialah seksyen 377A, 377B dan 377C Kanun Keseksaan (Akta 574). Berdasarkan peruntukan ini pelaku persetubuhan di luar tabii boleh dikenakan hukuman penjara 20 tahun dan sebatan.
Selain itu, berdasarkan maklumat yang dikemukakan menerusi akhbar Berita Harian pada 22 Mac 2012 yang bertajuk “Tiada undang-undang benarkan perkahwinan sejenis”, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri iaitu Datuk Dr Mashitah Ibrahim menjelaskan bahawa, bagi mengekang perkahwinan dan seks sejenis, beberapa undang-undang telah digubal termasuk Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang mengandungi peruntukan Seksyen 21 (kesalahan pelacuran), Seksyen 22 (kesalahan muncikari ‘ibu ayam’ atau ‘bapa ayam’, Seksyen 25 (kesalahan liwat), Seksyen 26 (kesalahan musahaqah atau perhubungan sejenis sesama perempuan), Seksyen 28 (lelaki berlagak perempuan) dan Seksyen 29 bagi perbuatan tidak sopan di tempat awam.

KESIMPULAN

Secara keseluruhannya, homoseksual bukan lagi perkara biasa dalam kehidupan, malah sudah menjadi amalan bagi golongan yang suka membuta tuli melanggar fitrah semula jadi dan kuasa Allah S.W.T. Sekiranya gejala ini berlarutan semakin parah, nescaya kemurkaan Allah akan tiba. Sudah terang lagi bersuluh, perjuangan golongan homoseksual yang menyalahgunakan istilah hak asasi manusia tidak membawa apa-apa faedah sekalipun. Negara Malaysia harus bertahan demi menjaga maruah agama, bangsa dan negara. Pujukan golongan ini bagi mendapatkan pengiktirafan harus ditentang sama sekali. Hak asasi hanya perlu diiktiraf jika bersesuaian dengan agama dan sejagat. Bukannya, kebebasan yang bertunjangkan sekularisme.
    Namun begitu, apa yang diharapkan ialah sebagai masyarakat bertamadun, kita seharusnya bersama-sama membantu golongan songsang ke arah kebaikan. Sudah menjadi tanggungjawab manusia bersama-sama dalam berpesan-pesan ke arah kebenaran. Golongan ini tidak boleh disisihkan. Pimpinan agama dan psikologi memainkan peranan penting bagi menggerakkan hati mereka ke arah kebaikan. Mungkin terdapat segelintir daripada mereka yang ingin berubah, namun tidak beroleh bimbingan yang sewajarnya. Sekiranya mereka mendapat dorongan yang kuat untuk berubah, maka insya-Allah hati mereka akan terbuka kerana tanpa keterbukaan dari mereka, gejala ini sukar dibendung. Tambahan pula, pengaruh sekular terlalu kuat pada masa kini. Justeru, marilah kita bersama-sama berusaha dan berdoa agar seluruh umat manusia bersih dari gejala homoseksual.




Tiada ulasan:

Catat Ulasan